Friday, February 20, 2009

Amalan Sunat Dihari Jumaat

Hari Jumaat adalah istimewa sehingga ia dinobatkan sebagai penghulu segala hari dalam seminggu.Justeru,kita wajar meraikan kehadiran hari Jumaat pada setiap minggu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti pesanan Rasulullah s.a.w.


1. Mandi

Bagi kita di Malaysia dan penduduk negara lain yang mempunyai cuaca serupa,mandi ialah suatu rutin hidup.Namun,mandi boleh menjadi amal soleh jika kita meniatkannya semata-mata kerana Alah s.w.t. Contohnya ialah mandi pada hari Jumaat dengan maksud mematuhi galakan Rasulullah s.a.w selaras dengan sabda baginda yang bermaksud,

"Apabila datang kepada kamu hari Jumaat,maka mandilah."
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).



2. Menghias diri,memakai pakaian yang baik dan memakai wangi-wangian.

Hari Jumaat umpama hari raya untuk minggu tersebut. Justeru,kita disunatkan menghias diri dengan kadar yang dibenarkan oleh syarak dengan memakai pakaian yang baik dan berwangi-wangian.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat,memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya,kemudian dia pergi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain,solat seperti mana yang telah ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya,maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Sekiranya kita mampu pakailah baju berwarna putih pada hari Jumaat sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

"Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih.Sesungguhnya ia adalah pakaian kamu yang paling baik dan kafankanlah orang-orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu dengannya."



3. Memotong kuku

Islam amat mementingkan kebersihan dan kekemasan.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

"Lima perkara daripada fitrah iaitu berkhatan,mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak,memotong kuku dan menggunting misai." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Persoalan kebersihan hendaklah diberi perhatian pada sepanjang masa terutama pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut kita akan pergi beramai-ramai ke masjid dan berjumpa dengan saudara seagama.Sudah tentu kita tidak mahu dipandang hina oleh orang lain hanya kerana kita tidak mahu menjaga kebersihan dan kekemasan diri.



4. Membaca Surah al-Kahfi

Sunat membaca Surah al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

"Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat,nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antara kedua-dua Jumaat berkenaan." (Riwayat Al-Hakim dan Al-BaihaQi)

Sabda Rasulullah s.a.w lain yang bermaksud,

"Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat,nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antaranya dan Baitul `AtiQ." (Riwayat Al-BaihaQi)



5. Memperbanyak doa

Doa adalah senjata bagi orang-orang yang beriman.Kita mempunyai ramai musuh sama ada di dalam atau luar diri kita,di samping berhadapan dengan banyak cabaran sepanjang hidup kita.Sehubungan itu,kita amat mengharapkan pertolongan dan rahmat daripada Allah s.w.t untuk menghadapi segala ujian ini.Antaranya dengan cara berdoa.

Kita digalakkan untuk banyak berdoa,apatah lagi pada malam dan hari Jumaat terutama sekali semasa waktu-waktu mustajab berdoa.Di antara hadis Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini ialah sabda baginda yang bermaksud,

"Waktu mustajab berdoa itu ialah masa di antara imam duduk sehingga selesai solat." (Riwayat Muslim).



6. Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w

Pada hari Jumaat,kita juga disunatkan supaya banyak berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sabda baginda yang bermaksud,

"Sesungguhnya hari kamu yang paling utama ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan di hadapanku."

Dipetik dari Hanieliza.blogspot.......

No comments:

Post a Comment