Thursday, May 5, 2011

Berita Harian:Untuk Ibu-Ibu Di Malaysia.....

Sasaran untuk mengurangkan kadar kematian melahirkan anak


2011/05/05
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menyasar untuk mengurangkan kadar kematian akibat melahirkan anak kepada 11 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup menjelang 2015 selaras dengan Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai memandangkan kadar kematian ibu yang melahirkan di negara ini menunjukkan penurunan yang ketara sejak negara mencapai kemerdekaan iaitu 530 kes pada 1950 dan terkini 28 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

"Kita adalah antara negara yang berjaya (mengurangkan kadar kematian). Dalam Mesyuarat Kesihatan Sedunia, negara dipuji kerana dapat menurunkan kadar kematian ibu dengan begitu drastik selepas merdeka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berjalan kaki "The 5KM Putrajaya Walk" di Taman Wetland di sini, hari ini.

"Lebih ramai ibu-ibu yang melahirkan boleh diselamatkan sekiranya mereka tiba di hospital lebih awal. Kadang-kadang ada di antara mereka yang melahirkan anak di rumah, atau di luar bandar termasuk kawasan perkampungan Orang Asli," katanya.

Liow berkata, kadar kematian selamat di negara ini dapat ditingkatkan kepada 98.6 peratus, di mana kelahiran-kelahiran terbabit adalah dibantu sama ada oleh pakar perubatan atau bidan.

Bagi kadar kematian bayi pula, beliau berkata, seramai enam kes kematian bayi dicatatkan bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, adalah antara kadar yang baik berbanding negara-negara lain.

Sementara itu, dalam ucapannya Liow berkata, Kementerian Kesihatan turut bercadang untuk menghantar delegasi bagi menyertai Kongres Persekutuan Bidan Antarabangsa di Durban, Afrika Selatan dari 19 hingga 23 Jun ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment