Cinta Irfin suntik semangat Yanie dalam bidang seni
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Tercipta saat tak dijangka
Sukar untuk kupercaya
Dengan pantas masa
Bawa kita berdua
DUETNYA bersama Diddy menerusi lagu Saling Terpesona bagai menceritakan apa yang bersarang di hati Yanie selama menyimpul kasih bersama insan yang tertulis untuk menjadi teman hidupnya sehingga ke akhir hayat.
Tiga tahun lalu, pesona yang menyelinap masuk mencuri ruang di hati gadis manis bernama Sitti Surianie Jul Karim, 23, itu adalah Irfin Abdul Manan, 27, dan tanggal 23 November lalu, pasangan merpati dua sejoli sah mengikat janji untuk saling melengkapi hidup.
Mula mewarnai dunia seni tanah air sebagai pemenang tempat ketika rancangan realiti Mentor musim pertama terbitan TV3, Yanie kini lebih yakin melangkah dengan adanya lelaki bernama suami mengiringi baki perjalanannya.
Mereka bertukar pandang tiga tahun lalu menerusi seorang teman, tatkala gelaran artis masih terlalu jauh realitinya dari gapaian gadis manis berkulit cerah itu.
Setahun mengenali hati budi, Yanie dan Irfin menyedari ada resah bertandang jika lama tidak memandang. Kedua-duanya mulai akur, saling memahami semakin berubah menjadi saling menyintai.
Memilih Jumaat selaku penghulu segala hari, Irfin mengesahkan status sebagai suami dengan sekali lafaz di hadapan Penolong Pengarah (Bahagian Perunding Keluarga) Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Imran Anggun, di Pejabat Jabatan Pentadbiran Syariah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada jam 3.30 petang.
Bertugas sebagai Pegawai Jabatan Imigresen di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Sabah, Kota Kinabalu, Irfin dan Yanie, sah menjadi suami isteri dengan mas kahwin RM200.
Yanie berwalikan bapa, Jul Karim Maring, 46, dan pernikahan turut disaksikan ibunya, Seriah Osman, 40, dan orang tua Irfin, Abdul Manan Mohd Noor, 54, serta Manisah Abdullah, 49.
Ringkas berpakaian ungu sedondon, pengantin baru tidak dapat menahan sebak ketika memeluk ibu dan ayah, memohon restu agar ikatan suci diberkati serta direstui selama-lamanya.
Menggenggam erat tangan suami, Yanie meluahkan keyakinan terhadap Irfin sebagai insan terbaik yang akan membawa sinar kebahagiaan dalam hidupnya.
"Doa kami, cinta ini diberkati dan masjid yang dibina kekal ke akhir hayat. Hari ini adalah permulaan bagi perjalanan jauh yang membahagiakan walaupun ada cabaran bakal ditempuh," katanya.
Tegas Yanie, Irfin adalah tulang belakang yang kukuh menyokongnya ketika menyertai Mentor. Dan apabila bidang seni yang dipilih anak sulung daripada lima beradik itu, tiada sekelumit bantahan pun terkeluar daripada insan tersayang.
Kelahiran Kampung Lingkudau, Keningau, Irfin mengakui selesa dengan kehendak Yanie untuk terus bergelar artis sekalipun sudah berumahtangga.
"Saya tidak menghalang pembabitannya dalam industri hiburan, asalkan Yani tahu tanggungjawabnya sebagai isteri seperti tuntutan agama.
"Memang dunia artis penuh glamor dan terdedah kepada gosip, namun saya sedia menghadapinya bersama Yanie. Dalam hidup, kita mesti belajar untuk saling mempercayai," katanya.
Perancangan bulan madu belum singgah dalam pemikiran pengantin baru itu, malah tidak menjadikannya sebagai keutamaan.
Apa yang penting, kata Yanie, ialah bagi mereka menikmati kebahagiaan bersama sepanjang hayat. Majlis persandingan pasangan mempelai akan berlangsung di Dewan Saadah, Wisma Muis Rabu ini, jam 8 malam.
No comments:
Post a Comment